Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.

Bagi negara-negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerapkali berlaku semasa musim sejuk manakala bagi negara-negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa (termasuk Malaysia), kejadian wabak berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim yang tertentu.

Secara kebiasaannya, gejala influenza bermula 1 atau 2 hari selepas dijangkiti, dan ianya meliputi

Demam

Selesema

Sakit tekak

Batuk

Sakit kepala

Sakit badan

Sukar bernafas

Cirit birit dan sakit perut (khususnya dalam kalangan kanak-kanak)

Kerapkali jangkitan virus influenza sekadar menyebabkan gejala jangkitan yang ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap immuniti badan yang baik.

Influenza merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan (respiratory droplets) apabila bercakap, batuk atau bersin. Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.

Kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun

Wanita hamil

Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas

Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma dll)

Individu obes

Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah (spt. pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dll)

Secara amnya, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan influenza, dimana salah satu dari pilihan rawatan adalah dengan menggunakan ubat anti-viral; iaitu tertakluk kepada hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan yang merawat. Rawatan segera adalah amat penting bagi mengelakkan komplikasi penyakit.

Cara yang terbaik untuk mencegah jangkitan influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan bagi individu yang berumur 6 bulan dan ke atas di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta.

Selain dari mendapatkan vaksin influenza, lain-lain langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;

Amalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask);

Buang tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask) ke dalam tong sampah bertutup sejurus selepas ianya digunakan;

Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak 1 meter;

Rehat di rumah dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sekiranya perlu ke tempat awam, gunakan penutup mulut dan hidung (face mask).

Vaksin influenza perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin influenza perlu dikemaskini berdasarkan saranan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan kandungannya sepadan dengan virus influenza yang diunjurkan menular pada setiap musim. Ini disebabkan oleh perubahan yang berlaku pada struktur virus influenza secara berterusan dan proses ini dikenali sebagai antigenic drift.
Back to Index