Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992, dan sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio pada 8 Disember 2019.

Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio sekiranya terdapat lokaliti dengan liputan imunisasi polio kurang daripada 95% serta tidak mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran.

Seseorang individu adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;

a. Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas membuang air besar atau selepas menukar lampin bayi.

b. Tidak menggunakan bekalan air bersih.

c. Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.

d. Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.

e. Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.

f. Mengendalikan spesimen makmal virus polio.

Virus polio menjangkiti manusia secara tinja- mulut (faecal- oral) Virus ini memasuki tubuh melalui beberapa cara seperti:

a. Memakan makanan dan/ atau minuman tercemar.
b. Tangan tercemar dengan najis dan kemudian menyentuh mulut.
c. Apabila objek seperti mainan yang tercemar dimasukkan ke dalam mulut.

Apabila virus ini masuk ke dalam badan, ia akan membiak dalam usus. Ia kemudiannya dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti orang lain yang tercemar dengan najis tersebut. Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) minggu selepas gejala muncul.

Kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 1 daripada 4 orang dengan jangkitan virus polio akan mengalami gejala demam selesema. Gejala ini biasanya dialami selama dua (2) hingga lima (5) hari dan kemudian sembuh dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti:

Kebas

Meningitis iaitu keradangan pada selaput otak

Lumpuh

Kematian

Post-Polio Syndrome

Cara terbaik untuk melindungi diri daripada penyakit polio adalah dengan mendapatkan vaksin polio. Di Malaysia, vaksin polio diberi sebanyak empat (4) dos secara kombinasi bersama vaksin difteria, pertussis, tetanus dan Haemophilus influenzae type b (Hib) kepada kanak-kanak yang berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Vaksin ini diberi secara percuma untuk warganegara di semua fasiliti kesihatan kerajaan dan caj minima dikenakan bagi bukan warganegara.

Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Memastikan anak-anak mendapat vaksinasi polio yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Membawa kanak-kanak yang cicir imunisasi ke fasiliti kesihatan yang terdekat.

Mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat sekiranya mengalami gejala AFP.

Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas keluar dari tandas dan selepas menukar lampin serta menjaga kebersihan persekitaran.

Menyediakan makanan secara bersih dan selamat termasuk membasuh ulam-ulaman atau sayur-sayuran yang dimakan mentah dengan air bersih, minum air yang telah dimasak serta memilih premis makanan yang bersih.

Mendapatkan maklumat terkini berkaitan penyakit polio dari laman sesawang https://www.infosihat.gov.my
Back to Index