Unit Promosi  Promosi  2868 reads

Unit Promosi

Pengenalan

Unit Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort ditubuhkan pada tahun 2003 di bawah naungan Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort . Unit Promosi Kesihatan diketuai oleh Pegawai Promosi Kesihatan dan dibantu oleh seorang Pembantu Kesihatan Awam (PKA), seorang Juru Audio Visual (JAV) dan seorang Pembantu Am Pejabat (PAP). 

Keperluan untuk mewujudkan Unit Promosi Kesihatan adalah untuk merancang, melaksana, menilai, menyelaras dan mengintegrasikan perkhidmatan, penyebaran maklumat-maklumat kesihatan dan promosi kesihatan kepada masyarakat di dalam program-program kesihatan yang sedia ada. Penubuhan unit ini adalah selaras dengan perkembangan semasa dalam bidang promosi yang berperanan sebagai agen kepada perubahan tingkah laku individu dan masyarakat terhadap kesihatan.

Visi

 Unit Promosi Kesihatan akan beroperasi sebagai satu Unit yang memberi perkhidmatan promosi kesihatan yang berfokus kepada perubahan tingkah laku kesihatan yang positif.

Misi

Komited untuk memberi perkhidmatan promosi kesihatan yang berkesan kepada kumpulan sasaran, komuniti dan anggota kesihatan ke arah perubahan tingkah laku kesihatan yang positif. Sentiasa berusaha untuk menwujudkan suasana perubahan tingkah laku kesihatan yang positif ke arah peningkatan kualiti hidup yang tinggi.

OBJEKTIF UNIT PROMOSI KESIHATAN

UMUM

Untuk mencapai perubahan sikap dan tingkah laku agar dapat mempertingkatkan kesihatan individu dan masyarakat menerusi usaha-usaha sendiri dan usaha-usaha masyarakat. Objektif ini adalah selaras dengan definisi promosi kesihatan oleh WHO (1986) yang berbunyi “The process of enabling people to increase control  over, and to improve, their health.”

KHUSUS

- Untuk menggalakkan individu dan masyarakat agar memberi kepentingan terhadap kesihatan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri.

- Memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang cara-cara meningkatkan kesihatan mereka serta cara-cara pencegahan penyakit yang disyorkan dan untuk memudahkan penerimaan langkah-langkah tersebut.

- Menyedarkan orang ramai tentang perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang sedia ada dan mengalakkan penggunaannya dengan betul.

PIAGAM PELANGGAN

Kami berjanji untuk:

  • Sentiasa memberi perkhidmatan yang cepat, cekap dan tepat serta mesra kepada pelanggan pada hari-hari bekerja.
  • Memastikan bahan pendidikan kesihatan (risalah, poster dan lain-lain) yang diedarkan dari JKNS diedarkan ke semua klinik-klinik atau Unit berkaitan dalam masa 2 minggu daripada tarikh penerimaan bahan tersebut.
  • Memastikan semua aktiviti promosi dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Unit Promosi Kesihatan.
  • Menerbit, mencetak dan mengedar bahan-bahan pendidikan kesihatan mengikut keperluan pelanggan dari masa ke semasa.
  • Memberi informasi kesihatan yang cepat, tepat dan terkini.
  • Memberi kemahiran yang relevan berdasarkan penyakit yang tertentu  ke arah perubahan tingkah laku kesihatan yang positif

Aktiviti-Aktiviti

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Unit Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort ialah : 

  • Merancang, melaksana dan menilai program promosi dan pendidikan kesihatan.
  • Membangun, mengeluar, menerbit, mengedar dan menilai bahan-bahan pendidikan dan promosi kesihatan mengikut keperluan semasa.
  • Mengendalikan alat-alat promosi dan pendidikan kesihatan.
  • Menyelaras, menyokong dan menjalankan aktiviti-aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan bersama-sama dengan fasiliti kesihatan.
  • Menjalinkan kerjasama dan integrasi dengan program-program kesihatan di Kawasan Beaufort dalam menjayakan aktiviti-aktiviti promosi kesihatan.
  • Menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam mempromosikan kesihatan dan meningkatkan taraf kesihatan individu dan masyarakat di Kawasan Beaufort.
  • Menjalankan diagnosis dan kajian ke atas masalah-masalah kesihatan tertentu.
  • Melaksanakan program-program Kempen Cara Hidup Sihat, Doktor Muda serta hari-hari khas kesihatan peringkat kawasan.
Print article  View this article in PDF format